KOTA TINGGI, 15 DIS – Tujuh sekeluarga terpaksa menggunakan besen bagi mengangkut anak damit mereka selepas rumah yang didiami di Kampung Baru Sungai Mas, di sini dinaiki air, semalam.
Noorizam Punijan, 52, berkata dia dan ahli keluarga mula berjaga-jaga apabila hujan lebat sejak awal pagi, memandangkan rumah mereka terletak berdekatan Sungai Mas.
Dia bersama tiga anak, menantu perempuan dan dua cucu berusia dua tahun serta sembilan bulan, berpindah ke rumah adiknya yang terletak berdekatan dan di kawasan lebih tinggi pada 6 pagi selepas paras air mulai tinggi.
“Pada pukul 7 pagi, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) datang dan beritahu kami perlu berpindah memandangkan air sudah berada di paras pinggang.
“Kami terpaksa letak anak kecil dalam besen kerana mereka takut dan cuma hendak dengan ibu mereka, sebelum beberapa anggota APM pegang sambil kami mengharung air,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Baru Sungai Mas, di sini hari ini.
Meskipun menjadi mangsa banjir, suri rumah itu turut mengambil alih tugas ketua kampung yang sedang menjalankan ibadah umrah, untuk membuka PPS itu sebagai penyelia. – Bernama


