Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 Series kekal eksklusif, inovatif

    Oleh Yusrin Junaidi

    Sedan paling besar dalam keluarga BMW, 7 Series kini ditampilkan dalam bentuk generasi baharu yang merupakan generasi ketujuh selepas generasi terdahulu berada di pasaran sejak tahun 2008.

    Sehubungan itu, BMW Asia dan QAF Auto baru-baru ini telah mengumumkan BMW 7 Series serba baharu kini boleh diperoleh dalam pasaran di negara ini.

    “BMW 7 Series merangkumi sebuah kereta sport yang dinamik, kemajuan teknikal yang inovatif dan kemewahan yang elegan pada tahap tertinggi,” kata Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.

    “Dengan setiap generasi sejak 1977, BMW 7 Series telah berada di pentas teratas sebagai kenderaan tercanggih dalam segmennya. Hari ini, BMW 7 Series serba baharu bersedia untuk meningkat ke tahap yang lebih tinggi, dan kami yakin ia akan menjadi yang terbaik untuk pelanggan kami,” tambahnya.

    Simbol inovatif

    Reka bentuk bahagian hadapan BMW 7 Series serba baharu ini didominasi oleh ciri-ciri tipikal jenama itu, tetapi perbezaan yang jelas dikekalkan antara model mewah baharu dengan model-model BMW yang lain. Ciri-ciri peralatan yang unik, seperti pengalaman kenderaan multi-sensor BMW iDrive dengan paparan yang melengkung, menyerlahkan simbol kekuatan inovatif Kumpulan BMW.

    Bahagian belakang BMW 7 Series baharu dengan lampu LED nipis.
    Stereng baharu dengan skrin digital sepenuhnya yang terdiri daripada paparan maklumat 12.3 inci di belakang stereng dan paparan kawalan bersaiz 14.9 inci.
    BMW Interaction Bar yang memenuhi keseluruhan panel instrumen dan panel pintu.
    Tempat duduk yang luas dan selesa yang diperbuat daripada Kulit Merino BMW.
    BMW 7 Series turut didatangkan dengan Touch Command.

    Ia ditawarkan di seluruh dunia secara eksklusif. Di sini, bahan baharu dan utama ialah kualiti tinggi dengan sistem infotainment dalam kereta baharu yang inovatif dan memberikan rasa keselesaan yang tiada tandingan dalam sebuah suasana yang eksklusif.

    Pengeluaran mampan dan fleksibel

    Setelah 45 tahun BMW 7 Series yang pertama mula muncul di jalan raya, model generasi ketujuh ini dibina di Kilang Kumpulan BMW Dingolfing. Penggunaan tenaga hijau dalam rantaian bekalan meningkat secara berterusan dalam proses pengeluaran.

    Ditambah lagi dengan pemilihan penggunaan bahan mentah yang dikawal rapi dan bahan sekunder yang meluas memastikan BMW 7 Series serba baharu memainkan peranan yang berbeza dalam membantu syarikat mencapai matlamat kemampanan yang tinggi.

    Keselesaan dan kesejahteraan tahap tertinggi

    Apa yang lebih menarik ialah reka bentuk mewah yang paling progresif terserlah di bahagian dalam kereta BMW 7 Series baharu ini, yang dapat memberikan pengalaman yang luar biasa untuk pemandu dan juga penumpang.

    Model tersebut mencerminkan keseimbangan antara dinamik pemanduan dan keselesaan perjalanan yang menandakan model generasi baharu.

    Bagi pemandu, BMW 7 Series serba baharu adalah sedan dinamik yang memikat, manakala penumpang tempat duduk belakang boleh menikmati suasana yang selesa serta mewah.

    Kokpit BMW 7 Series serba baharu mempunyai bilangan kawalan butang dan suis yang jauh lebih rendah berban-ding model terdahulu. Motif utama di sini ialah komitmen terhadap pendigitalan melalui Paparan Melengkung BMW.

    Model terbaharu ini dilengkapi dengan skrin digital sepenuhnya yang terdiri daripada paparan maklumat 12.3 inci di belakang stereng dan paparan kawalan bersaiz 14.9 inci.

    Stereng dan pemilih gear pada konsol tengah juga mempunyai reka bentuk baharu, yang mengetengahkan penampilan kali pertama BMW Interaction Bar sebagai elemen reka bentuk dan kawalan gaya baharu.

    Kerusi serba baharu dengan pemanduan yang efisien

    Tempat duduk yang selesa juga memainkan peranan yang penting untuk BMW 7 Series yang baharu ini. Ia menawarkan tempat duduk yang lebih luas daripada bahan yang berkualiti dilengkapi dengan pelarasan elektrik yang meluas dan sokongan lumbar untuk pemandu dan penumpang di hadapan.

    Tempat duduk BMW 7 Series serba baharu ditetapkan sebagai standard yang menggunakan material Kulit Merino BMW.

    Model baharu ini masih lagi ditawarkan dalam varian enjin pembakaran dalaman, di mana versi asas 735i didatangkan dengan enjin enam silinder inline 3.0 liter yang menghasilkan 286 kuasa kuda dan 425 tork.

    Selain itu, BMW turut melengkapkan skrin tambahan Touch Command bersaiz 5.5 inci pada panel pintu belakang seakan peranti pintar yang membolehkan kawalan kepada pelbagai jenis fungsi seperti panggilan suara, kandungan multimedia, tetapan tempat duduk, pencahayaan serta menetapkan suhu di bahagian tersebut.

    Secara standard, BMW 7 Series dilengkapi dengan sistem suspensi udara dengan peredam adaptif, serta sistem stereng gandar belakang yang mampu mengurangkan radius putaran sebanyak 0.8 meter, serta pakej pilihan anti-oleng aktif yang menjanjikan pemanduan yang lebih selesa.

    Malah, BMW turut menawarkan pilihan Driving Assistance Professional Package yang membolehkan pemanduan bebas tangan dibuat pada kelajuan sehingga 130km/j.

    BMW iDrive dengan sistem operasi BMW 8

    Penciptaan generasi ketujuh BMW 7 Series bukan sahaja tertumpu pada reka bentuk badan dan dalam sahaja, ia juga menumpukan kepada pengalaman pemanduan yang boleh memberikan kepuasan kepada pemandu serta penumpang.

    BMW 7 Series dilengkapi dengan iDrive sebagai standard dalam BMW 7 Series yang membolehkan pemandu menikmati kawalan intiutif, pelbagai mod kenderaan, navigasi infotainment dan fungsi komunikasi juga tersediakan untuk digunakan dalam perkhidmatan digital.

    Perisian sistem pengendalian BMW 8 ini merupakan perisian yang terkini yang membolehkan pemandu berinteraksi dengan kereta menggunakan kawalan sentuhan dan suara.

    Selain Paparan Melengkung BMW dan BMW Interaction Bar, generasi terkini BMW Head-Up Display juga dipasang sebagai standard.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda