Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 siswazah timba ilmu di Jepun

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Dalam usaha menimba ilmu dan meningkatkan pengalaman di peringkat antarabangsa, tujuh siswazah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini berlepas ke Osaka, Jepun bagi mengikuti Program Pensijilan Antarabangsa Universiti Osaka.

    Hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat berlepas ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban UNISSA, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan tenaga akademik yang lain.

    Menurut kenyataan dari UNISSA, peserta yang mengikuti program tersebut adalah siswazah jurusan Sarjana Sains Halal di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban. Mereka merupakan kumpulan ketiga menyertai program yang berlangsung selama dua bulan di Kampus Suita, Universiti Osaka, Jepun.

    Program tersebut telah pun ditawarkan bermula 2020 dan pelajar terbabit menerima biasiswa daripada universiti itu dan Japan Students Services Organization.

    Program bermatlamat memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik dan menyerlah dalam penyelidikan halal seterusnya dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar dalam industri halal yang semakin berkembang pesat.

    Pengiran Dr Hajah Norkhairiah dan tenaga akademik yang lain bergambar ramai bersama para siswazah UNISSA yang akan mengikuti Program Pensijilan Antarabangsa Universiti Osaka.
    Gambar ramai para siswazah UNISSA yang akan mengikuti Program Pensijilan Antarabangsa Universiti Osaka.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda