MOGADISHU, SOMALIA 28 APRIL – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan lebih daripada 11 yang lain cedera ketika sebuah kenderaan meletup di luar ibu pejabat polis di ibu negara Somalia, kata pegawai polis dan kesihatan hari ini.
Kumpulan pelampau al-Shabab mengaku bertanggungjawab.
Jurucakap polis, Kolonel Abdiqani Mohamed Qalaf, mengatakan pengebom nekad itu cuba memandu meluru ke markas berhampiran jalan bekas kawalan Afgoye tetapi berjaya dihalang.
“Dia boleh membunuh lebih banyak orang jika ia tidak dihalang,” kata Qalaf.
Tambahnya dua tentera dan tiga orang awam adalah antara yang terkorban.
Dr Hashim Suldan di hospital Madinah memberitahu The Associated Press bahawa mereka telah menerima 13 orang yang cedera dan dua daripadanya meninggal dunia semasa tiba di hospital. Sementara yang lainnya mengalami luka serius.
Al-Shabab sering menyasarkan kawasan berprofil tinggi di Mogadishu dan para pemerhati telah memberi amaran bahawa kumpulan yang berkaitan dengan al-Qaida mungkin memanfaatkan ketegangan politik Somalia ketika ini untuk melakukan serangan. – AFP