7 terlibat pecah rumah bersiri tumpas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Tujuh warga tempatan iaitu enam lelaki dan seorang perempuan yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 42 tahun berjaya diberkas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana terlibat dalam kegiatan curi dan pecah rumah bersiri.

Dengan penangkapan tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan lima kertas siasatan jenayah yang dilaporkan berlaku di kawasan rumah-rumah kediaman di RPN Teres Lumut dan Lumut, Sungai Liang.

PPDB dalam kenyataannya turut merampas beberapa barangan curi seperti barangan elektronik, barangan kenderaan, mesin pemotong kayu, mesin waterjet dan lainnya.

Kesemua suspek juga menjalani ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif, bagaimanapun lima suspek dihantar ke Pusat Kuarantin Perkampungan Sukan Berakas bagi menjalani kuarantin selama dua minggu sebelum siasatan lanjut diteruskan kerana tidak memiliki aplikasi BruHealth dengan dua daripadanya masih di bawah siasatan polis.

Kejayaan penangkapan tersebut adalah hasil strategi pemantauan dan kolaborasi daripada keanggotaan Daerah Polis Belait dan balai-balai di bawahnya.

Dalam pada itu, PPDB akan sentiasa berusaha menjalankan pemantauan, menjejak dan mengesan sebarang kegiatan-kegiatan jenayah di samping membuat penangkapan ke atas penjenayah yang berhasrat untuk mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan di negara ini.

Sokongan masyarakat adalah diharapkan agar sentiasa memberikan kerjasama dalam kepercayaan serta perkongsian maklumat bagi memastikan negara ini bebas daripada segala bentuk aktiviti negatif dan gejala-gejala jenayah.

Antara barangan yang dirampas dalam kegiatan curi dan pecah rumah bersiri di kawasan rumah-rumah kediaman di RPN Teres Lumut dan Lumut, Sungai Liang. – Gambar serahan PPDB