Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    7 warga asing langgar peraturan JIPK ditahan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BELAIT, 31 MAC – Tujuh warga asing telah ditahan semasa Operasi Tumpas yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), kelmarin.

    Kesemua warga asing berkenaan telah didapati melanggar peruntukan di bawah Peraturan 15 (2) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu mana-mana pekerja asing yang bekerja di negara ini hendaklah bekerja mengikut majikan yang asal.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, di sini hari ini, kesemua mereka telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, JIPK cawangan Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.

    Majikan-majikan yang terlibat turut dikeluarkan surat panggilan dan seterusnya diarahkan hadir ke bahagian tersebut untuk siasatan dan tindakan lanjut.

    Kenyataan menyatakan, dalam operasi yang dijalankan pada pukul 9:45 pagi itu menyasarkan kawasan projek pembinaan rumah di sekitar Jalan Kampung Lumut, Mukim Liang.

    Menurut kenyataan itu lagi, pihak JIPK ingin mengingatkan para majikan untuk mematuhi dan tidak melanggar sebarang akta dan peraturan imigresen serta memastikan pekerja-pekerja mereka melakukan kerja-kerja seperti yang ditetapkan.

    Pihak JIPK berkenaan turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam sama-sama memberikan maklumat mengenai pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888 untuk Bandar Seri Begawan dan talian 8984111 untuk Kuala Belait di mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

    Tujuh warga asing yang telah ditahan semasa Operasi Tumpas yang dijalankan oleh JIPK. – Gambar serahan JIPK

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda