Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 ahli persatuan wanita hadiri tadarus di PGGMB

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Jawatankuasa Wanita Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Tadarus Juz 17 sempena Bulan Ramadan yang berlangsung di Bangunan PGGMB di ibu negara, hari ini.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Naib Yang Di-Pertua I Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD), Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat.

    Hajah Fatimah mengetuai bacaan Al-Quran dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Di majlis itu, Pengarah Wanita PGGMB selaku Pengerusi Bahagian Keagamaan MWNBD, Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, penglibatan ahli Jawatankuasa Wanita PGGMB dalam pengendalian acara keagamaan bukan hanya tertumpu kepada aktiviti yang dianjurkan oleh PGGMB, tetapi ia turut membantu MWNBD untuk mengungkayahkan berbagai aktiviti sepanjang tahun selaku Jawatankuasa Bahagian Keagamaan.

    “ Majlis tadarus pada bulan Ramadan ini juga diteruskan oleh persatuan-persatuan di bawah payung MWNBD, yang mana akan diakhiri dengan Majlis Khatam Al-Quran MWNBD yang dijangka akan berlangsung pada 22 Mac ini,” tambahnya.

    Katanya lagi, “ majlis tadarus ini juga diadakan sempena memperingati Nuzul Al-Quran yang disambut pada setiap 17 Ramadan setiap tahun”.

    Beliau seterusnya menambah, dalam memartabatkan keagungan dan kesucian Al-Quran, perlu juga menjaga adab-adab membaca Al-Quran, dan ini antaranya dengan niat ikhlas membaca dengan mengharap keredaan Allah.

    Selain khuysuk iaitu merendah diri, khudhu iaitu tenang dan tetap hati dan tadabbur iaitu memahami dan merenungi ketika membaca.

    Pada majlis itu, bacaan khatam Al-Quran yang bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad diketuai oleh ahli Pertiwi, Hajah Fatimah binti Haji Ahmad sementara bacaan Tahtim dibacakan oleh PKP, Hajah Taibah binti Kudi.

    Hampir 70 orang ahli daripada 13 buah persatuan dalam MWNBD telah menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Manakala doa khatam di bacakan oleh Pengiran Hajah Rakiah, manakala bacaan tahlil pula di bacakan oleh Hajah Fatimah binti Abdul Ghani dari PPPBD, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Dayang Messuri binti Musa.

    Majlis juga diserikan dengan dikir Marhaban yang diketuai oleh ahli-ahli persatuan BAKANITA.

    Hampir 70 orang ahli daripada 13 buah persatuan dalam MWNBD telah menghadiri majlis berkenaan yang terdiri daripada PersatuanPpertiwi, WI, PGGMB, BISTARI, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam, Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP) Belait, BAKTI, Persatuan Siswazah Wanita, PERGANITA, BAKANITA, Persatuan Belia Lambak (PERBEKAL), PEWAJA dan Persatuan Nurul Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda