Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Seramai 70 orang terdiri daripada anak-anak yatim, golongan asnaf dan ibu-ibu tunggal di daerah ini diraikan dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di sebuah kafe di Telanai, hari ini.
Majlis anjuran Projek Bina Bakti, Kumpulan Prihatin dan Projek Impian Cahaya Iman itu antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dan menceriakan golongan tertentu pada majlis tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan berupa senaskah Al-Quran, beras dan sampul raya ialah Pengarah Operasi dan Kewangan Sepakat Energy Services, Liana Radzak.
Turut menyampaikan sampul raya kepada mereka yang diraikan di majlis itu ialah Penasihat Khas Projek Bina Bakti, Dayang Fatimah binti Haji Jamil, Hajah Zainab binti Haji Ali daripada Kumpulan Prihatin, Hajah Faridah binti Haji Taufik serta ahli-ahli dan orang persendirian.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Ade Sabilin bin Aabdurrahman.
Sumbangan dan sampul raya itu adalah sumbangan daripada D’Sunlit Sdn Bhd, Syarikat Chop Khong Lin dan beberapa orang persendirian.
Acara diserikan lagi dengan persembahan artis jemputan dan turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengerusi 2 Projek Bina Bakti, Awang Muhammad Amirul Aqil bin Abdullah Ang; Abdul Hafiz bin Hassan wakil dari Syarikat Chop Khong Lin dan Awang Faizul bin Yahya, pengerusi serta ahli kumpulan.