Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Seramai 70 pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan telah menghadiri taklimat Wawasan Brunei 2035 yang berlangsung di jabatan berkenaan, hari ini.
Taklimat anjuran Sekretariat Tetap Wawasan 2035 itu turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @Maidin dan Pemangku Pengarah, Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Awang Nadzri bin Haji Yahya.
Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Pentadbir Tingkat Khas, Sekretariat Tetap Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Muhammad Aziman bin Nasir.
Taklimat berkenaan merupakan usaha berterusan JPM bagi memberigakan mengenai Wawasan Brunei 2035 kepada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan bagi sesi tahun 2018 dengan bermula Jabatan Mufti Kerajaan.

Ia antara lain bertujuan untuk menyejajarkan semua pihak yang berkepentingan di samping setiap organisasi juga diharap akan lebih memahami kaitan peranan mereka dalam mengerakkan usaha-usaha ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Di samping itu juga bagi memperkukuhkan kerjasama rapat dengan agensi lain secara ‘Whole of Government’ terutama dalam menangani isu yang bersifat ‘cross cutting’.
Pegawai dan kakitangan dari Jabatan Mufti Kerajaan juga diberikan peluang menyuarakan sebarang pertanyaan dan mengetahui isu semasa berkaitan Wawasan Brunei 2035.
Program pemberigaan Wawasan Brunei 2035 secara amnya bertujuan untuk memperkenalkan, mendidik dan menyelaras pemahaman orang ramai mengenai wawasan berkenaan.