Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 pelajar sekolah tunggang motosikal tanpa lesen

    ALOR GAJAH, 4 SEPT – Seramai 70 penunggang motosikal dalam kalangan pelajar di enam buah sekolah menengah di Melaka, didapati tidak mempunyai lesen memandu dalam pemeriksaan dijalankan sempena Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya bermula Julai hingga hari ini.

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata seramai 22 pelajar pula penunggang motosikal bawah umur, hasil pemeriksaan dilakukan ke atas 371 kenderaan sepanjang program itu berlangsung.

    Selain itu, beliau berkata sebanyak 67 buah motosikal yang diperiksa tidak mempamerkan pelekat ‘L’ atau ‘P’, lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh (37 motosikal) dan tidak memakai topi keledar (14 orang).

    “Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, pada tahun ini sahaja sebanyak 14 kemalangan termasuk empat kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah.

    “Justeru, Program Advokasi Kemalangan Jalan Raya melibatkan pelajar sekolah ini dianjurkan untuk memupuk budaya mematuhi peraturan jalan raya di usia muda, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan itu menerusi kaedah pendidikan dan kesedaran awal,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas Program Advokasi Kemalangan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin membabitkan pemeriksaan 126 motosikal.

    Muhammad Firdaus berkata, program itu disasar dilaksanakan di 15 buah sekolah menengah di sekitar Melaka dan setakat ini ia berjaya dilaksanakan di enam buah sekolah termasuk Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin, SMK Telok Mas, SMK Hang Kasturi dan SMK St David.

    Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah, program itu memberi kesan positif dalam kalangan pelajar terlibat sekali gus memupuk kesedaran mereka ketika berada jalan raya. – Bernama

    Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ke atas motosikal pelajar pada program berkenaan di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin pada 4 September. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda