Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 peratus rakyat China mahu kurangkan berat badan

    GUANGZHOU, 12 MEI – China menyaksikan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kawalan berat badan, dengan 70 peratus daripada penduduknya berhasrat untuk menurunkan berat badan dan lebih 60 peratus sanggup meluangkan masa serta usaha untuk mencapai matlamat itu.

    Perkara itu didedahkan dalam satu kertas putih mengenai kesihatan dan kawalan berat badan dalam kalangan orang dewasa di China, yang diumumkan pada satu persidangan pencegahan obesiti diadakan di Foshan, wilayah Guangdong, selatan China pada Sabtu, lapor Xinhua.

    Kertas putih itu menunjukkan separuh daripada orang dewasa di China membuat penilaian kendiri yang tidak selaras dengan indeks jisim badan (BMI) sebenar mereka, manakala 14 peratus yang menganggap diri mereka berada dalam julat sihat sebenarnya mengalami berat badan berlebihan berdasarkan pengiraan BMI.

    Ketidaktepatan penilaian kendiri ini menyukarkan usaha mencegah dan mengawal penyakit kardiovaskular, serebrovaskular, diabetes serta penyakit kronik lain, sekali gus mencerminkan tahap pemahaman yang rendah terhadap risiko obesiti terhadap kesihatan, menurut Liang Xiaofeng, naib pengerusi Persatuan Perubatan Pencegahan China, yang juga merupakan badan yang menyediakan kertas putih berkenaan.

    Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, pada masa ini, 34.3 peratus orang dewasa di China mempunyai berat badan berlebihan dan 16.4 peratus mengalami obesiti.

    Suruhanjaya itu memberi amaran bahawa tanpa langkah kawalan, 70.5 peratus orang dewasa di negara itu akan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2030, yang boleh mengakibatkan perbelanjaan perubatan mencecah AS$61 bilion. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda