Saturday, July 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 petugas Kementerian Komunikasi di Sabah terima APC 2024

    PENAMPANG, 24 JULAI – Sebanyak 70 petugas jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi di Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024, yang disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Penampang, hari ini.

    Daripada jumlah itu, 41 petugas Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (Japen) (24 petugas), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) (3 petugas) dan masing-masing satu petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarah Japen, Julina Johan; dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik), Nasaruddin Abdul Muttalib.

    Seorang daripada penerima, Pengarah J-KOM Sabah, Milus Alu@Abd Wahad berkata pencapaian cemerlang itu adalah hasil kerjasama pasukan J-KOM di Sabah dalam menjalankan tugasan masing-masing.

    “Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan J-KOM yang telah memilih saya untuk menerima anugerah ini. Penghargaan juga untuk pasukan J-KOM yang sentiasa memberi sokongan menjayakan program anjuran jabatan,” katanya kepada Bernama selepas majlis berkenaan di Penampang hari ini.

    Beliau yang berkhidmat selama dua tahun di J-KOM dan sebelum ini selama 30 tahun di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah berkata APC itu adalah yang keempat diterimanya selepas kali pertama pada 2002.

    Sementara itu, Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli berkata anugerah itu bukan miliknya sendiri, sebaliknya milik semua rakan setugas di agensi berita nasional itu terutamanya petugas di Bernama Biro Sabah yang sentiasa berusaha menyokong antara satu sama lain.

    “Ini hasil kerja berpasukan sebagai petugas Bernama yang berusaha sedaya upaya mengangkat agensi berita ini menjadi yang terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia. Anugerah ini memberikan motivasi kepada saya untuk melakukan yang terbaik kepada Bernama,” katanya yang berkhidmat di Bernama selama 15 tahun. – Bernama

    Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi Zon Sabah, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda