Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 raket badminton disumbangkan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sebanyak 70 raket telah disumbangkan iaitu 50 batang raket kepada Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS) dan 20 lagi kepada Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Kementerian Pendidikan dalam Majlis Penyerahan Raket di bawah inisiatif Serving Smiles, One Racket at a Time yang berlangsung di SMAS, Kampung Sungai Kebun, Jalan Lumapas, pagi tadi.

    Majlis tersebut merupakan kesinambungan daripada kempen sumbangan raket yang diadakan dari 14 September hingga 20 Oktober, anjuran Super Smasher dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Zon 1 Kampong Ayer, Momentum Misi Platform Belia (MMPB) dan Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (BNBA) serta disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuk Makan Ceria Sdn Bhd, Kelme Sport Brunei dan Printmartz Sdn Bhd.

    Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh wakil SMAS, Haji Muhd Fadhillah bin Haji Ismail, diikuti ucapan alu-aluan oleh pengetua sekolah dan ucapan khas oleh Penghulu Mukim Zon 1 Kampong Ayer, Awang Muhammad Azli bin Salim yang menekankan kepentingan kerjasama komuniti dalam melahirkan belia yang aktif, berdisiplin dan mencintai sukan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    Acara kemuncak majlis tersebut ialah sesi penyerahan raket secara simbolik, melambangkan semangat inklusif dan perpaduan komuniti dalam menyokong pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi.

    Penyerahan raket kepada JPKhas telah disempurnakan oleh Presiden BNBA.

    Awang Muhammad Azli bergambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN SUPER SMASHER

    Majlis turut diserikan dengan Bengkel Asas Badminton yang dikendalikan oleh BNBA dan Super Smasher bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar dan komuniti setempat mengenai asas permainan badminton.

    Kesinambungan projek itu akan diteruskan ke fasa 3 menerusi Festival Belia di Pantai Muara pada 5 hingga 7 Disember nanti yang bakal memperkenalkan sukan baharu iaitu AirBadminton kepada orang ramai. Fasa itu merupakan platform bagi belia untuk berinteraksi, beriadah dan memperkukuh semangat kesukanan dalam suasana santai dan inklusif.

    Sebarang maklumat lanjut mengenai acara tersebut boleh didapati melalui laman rasmi pantaisantai.bn dan supersmasher.bn.

    Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai serta komuniti dewan-dewan badminton yang telah memberikan sokongan padu terhadap inisiatif tersebut, sekali gus menjayakan perjalanan Serving Smiles, One Racket at a Time dari fasa 1 hingga 2.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda