Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada ibu bapa yang terpilih dari sekolah-sekolah rendah Kluster 1 menyertai Sesi Bengkel Brunei Bebas Buli yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Bengkel itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Program Brunei Bebas Buli yang merupakan salah satu inisiatif Jangkauan Sekolah untuk Program Mempromosikan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja di bawah Pusat Promosi Kesihatan.
Bengkel sehari itu diisikan dengan taklimat-taklimat yang berkaitan dengan pengenalan Program Brunei Bebas Buli, penerangan mengenai buli dengan cara-cara menghentikan buli, peranan ibu bapa dan masyarakat dalam menanganinya serta teknik kaunseling yang disampaikan oleh beberapa orang pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan dan wakil daripada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).
Ia dikendalikan oleh Pusat Promosi Kesihatan melalui Kumpulan Strategi Kesihatan Mental bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah bagi ibu bapa daripada PIBG di mana ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutama di kalangan para ibu bapa akan isu buli, yang mana jika tidak diberikan intervensi awal boleh mendatangkan kesan–kesan negatif kepada ketumbesaran anak–anak mereka termasuklah impak kepada kualiti kesihatan mental mereka dalam jangka masa yang panjang.
Di samping itu, bengkel itu juga dihasratkan sebagai sebuah platform pemberigaan langkah-langkah yang dapat dan perlu dilaksanakan oleh para ibu bapa khususnya serta masyarakat pada amnya dalam sama–sama membendung isu buli dan seterusnya menjadikan negara kita, Brunei Darussalam bebas daripada gejala buli.
