Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program latih ibu bapa didik anak secara holistik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Lebih 70 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, guru-guru sekolah serta orang awam telah menyertai program Leadership Series #2: “Super Parents Workshop – Nurturing Success at Home & Beyond”, yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Mercury, Star Lodge Hotel.

    Program anjuran Persatuan Afiah merupakan kesinambungan kepada siri pertama yang berjaya dianjurkan sebelum ini dan ia turut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.

    Program kali ini memberi tumpuan kepada kepentingan ibu bapa dalam memimpin keluarga, bukan sahaja dalam membentuk kejayaan di rumah dan masyarakat, malah dalam konteks lebih luas – dunia dan akhirat, selaras dengan objektif untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berjiwa rakyat bermula dari institusi keluarga.

    Acara menampilkan dua tokoh pemudah cara iaitu pakar Psikologi Pendidikan dari Malaysia, Dr Kamaliah Noordin dan Penolong Profesor dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Faizah binti Haji Abdul Rahman yang menyampaikan sesi forum dan bengkel.

    Antara intipati utama yang dikongsikan semasa program tersebut termasuk kepentingan membentuk anak secara holistik ke arah insan yang mulia, bahagia dunia dan akhirat, menyedari bahawa kejayaan sesebuah keluarga bukan diukur dengan kemewahan, tetapi melalui keharmonian, keimanan dan keberkatan serta memahami perkembangan emosi anak-anak sebagai asas membimbing mereka dengan lebih berkesan dan empati.

    Selain sesi forum, program turut mengadakan bengkel interaktif yang memberi ruang kepada peserta untuk menilai keadaan keluarga masing-masing dan berkongsi amalan terbaik dalam mendidik anak-anak.

    Beberapa cadangan pelaksanaan yang dikemukakan termasuk untuk menilai keadaan semasa keluarga untuk perancangan penambahbaikan, memahami kekuatan dan kelemahan anak-anak serta mengenal pasti punca tekanan dalam keibubapaan dan langkah mengatasinya.

    Program ini merupakan sebahagian usaha Persatuan Afiah dalam menyokong pembangunan keluarga yang kukuh dan harmoni, sejajar dengan nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Persatuan Afiah turut memaklumkan bahawa program berikutnya akan diadakan pada 28 September dan dibukakan kepada orang ramai sebagai kesinambungan kepada inisiatif pembangunan kepimpinan komuniti.

    Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda