Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Dalam usaha menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, seramai 70 peserta dari pelbagai latar belakang telah menghadiri Tamu Bahasa hari ini.
Majlis yang dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Dayang Rosmuliati binti Haji Yahya berkenaan telah diadakan di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas dan juga melalui penstriman langsung di laman media sosial, Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Hadir selaku tetamu khas ke majlis berkenaan adalah, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.
Antara objektif Tamu Bahasa adalah untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan pelbagai pihak untuk menyebarluaskan pengetahuan dan memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara selain membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dalam memantapkan penggunaan bahasa Melayu, penggunaan istilah-istilah baharu dan tulisan Jawi sebagai identiti bahasa Melayu.
Pembentangan dalam majlis berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Yabit bin Alas merupakan Penolong Profesor Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam sebagai pembicara eksekutif dengan tajuk Etimologi Nama-nama Kampung di Negara Brunei Darussalam.
Antara perkara yang dibincangkan ialah asal usul nama sesebuah kampung atau tempat yang mencerminkan tamadun, peristiwa, serta kearifan tempatan yang pernah terjadi mahu pun segala sesuatu yang telah diamalkan oleh masyarakat penutur masih dikekalkan.
Turut hadir ke majlis adalah para pegawai jabatan-jabatan kerajaan, mahasiswa, belia, pencinta bahasa dan sastera, penulis dan juga orang ramai serta pengguna media sosial yang mengikuti penstriman langsung majlis berkenaan.