Monday, July 21, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    70 tampil sertai kempen derma darah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Seramai 70 penderma darah tampil menjayakan Kempen Derma Darah anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mukim Mentiri, kelmarin.

    Kempen julung-julung kali berkenaan diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 dan terbuka kepada warga penduduk Kampung RPN Panchor, Mukim Mentiri serta sekitarnya.

    Acara berlangsung di Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya sebagai pengerusi majlis serta merasmikan kempen berkenaan ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Faidil Rosemady bin Mohamad merangkap Ketua Kampung Kawasan 4.

    Kempen bermula dengan sesi pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan sebelum para peserta mula menderma darah di bawah kendalian pihak perubatan yang bertugas.

    Menurut penganjur, objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya menderma darah serta sebagai satu bentuk amal kebajikan sempena Hari Keputeraan.

    Program sedemikian diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas daripada komuniti setempat.

     Semua di atas: Antara yang tampil menderma darah semasa kempen berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda