Oleh Daniel Lim
BELAIT, 19 APRIL – Sebagai sebahagian daripada projek membantu golongan yang memerlukan sempena bulan suci Ramadan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut dengan kerjasama AiShafikah telah mengadakan penyerahan sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik hari ini.
Seramai 70 penerima, terdiri daripada 43 anak yatim dan 37 warga emas dan penduduk kurang bernasib baik telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas.
Hadir menyampaikan derma ialah Pemangku Ketua Kampung Lumut, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud serta pengurus-pengurus AiShafikah, Dayang Shahidah binti Haji Saadi dan Awang Saburudeen bin Syed Mohamed.
Dengan penyampaian derma itu, kumpulan berkenaan berharap projek tahunan itu akan membantu meringankan bebanan penerima semasa bulan puasa ini.
