Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    700 haiwan eksotik diselamatkan, 45 individu ditahan

    RIO DE JANEIRO, 17 SEPT – Polis Brazil kelmarin telah menahan 45 individu dan menyelamatkan ratusan haiwan eksotik dalam operasi terbesar menentang penyeludup hidupan liar di negara yang paling kaya dengan biodiversiti di dunia itu.

    Burung berwarna cerah seperti enggang dan burung nuri, beberapa kotak kura-kura, monyet serta seekor ular sawa antara 700 haiwan yang diselamatkan dan dibawa ke pusat khas untuk menerima rawatan pakar.

    Polis forensik membawa haiwan yang diselamatkan dalam sangkar untuk diperiksa oleh doktor haiwan, malah ada yang ditutup dengan selimut sebelum pemeriksaan dilakukan.

    Lebih 1,000 anggota polis terlibat dalam operasi merentasi Rio de Janeiro dan beberapa negeri lain, yang merupakan ‘operasi terbesar dalam sejarah Brazil untuk memerangi pemerdagangan haiwan liar, senjata, dan peluru,’ menurut kenyataan polis.

    Operasi itu dilakukan susulan daripada siasatan selama setahun terhadap sindiket pemerdagangan hidupan liar paling aktif di negara tersebut.

    “Pemerdagangan haiwan bukan sekadar kejam – ia satu hukuman mati. Ramai haiwan mati sebelum sempat tiba ke pasaran, yang menunjukkan betapa kejamnya perdagangan ini,” kata Setiausaha Alam Sekitar dan Kelestarian Negeri, Bernardo Rossi, dalam satu kenyataan.

    Sindiket itu juga memperdagangkan senjata dan peluru, yang digunakan untuk melakukan pelbagai jenayah lain, menurut pegawai polis, Felipe Curi.

    Pemerdagangan hidupan liar merupakan cabaran besar di Brazil, dengan dianggarkan 38 juta haiwan diperoleh dari habitat semula jadi setiap tahun, menurut badan bukan kerajaan Brazil, Rangkaian Nasional Memerangi Pemerdagangan Hidupan Liar (RENCTAS).

    Sebanyak 90 peratus daripada haiwan tersebut mati sebelum sampai kepada pembeli.  – AFP

    Gambar menunjukkan seekor burung enggang di dalam sangkar di Rio de Janeiro pada 16 September. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda