Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    700 tan metrik beras diedar mulai Jumaat

    KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan akan mula diedar ke seluruh Semenanjung Jumaat ini, sebagai langkah awal intervensi dalam menangani permintaan bahan makan ruji negara itu.

    Program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir itu, akan dibuat melalui premis di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.

    Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Amir Mat Amin berkata beras putih tempatan itu, akan dibekalkan ke 40 premis di bawah LPP iaitu 23 Peladang Outlet (PO), lapan Agro Bazar Pertubuhan Peladang dan sembilan Kedai Peladang.

    Beliau berkata program intervensi itu yang dilancar hari ini, dilaksanakan dengan kerjasama dua syarikat iaitu Jasmine Food Corporation Sdn Bhd dan Serba Wangi Sdn Bhd.

    “Jumlah pengedaran di bawah LPP untuk tempoh sehingga hujung tahun ini ialah 300 tan metrik, (manakala) FAMA (peroleh) 400 tan metrik, menjadikan jumlah keseluruhan 700 tan metrik,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Amir berkata LPP komited, untuk mengedarkan beras kampit tempatan ini dengan harga kawalan RM26 untuk 10 kilogram (kg) setiap pek, sebagai usaha membantu menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran pada masa ini.

    “Kami mengehadkan untuk seorang pengguna dua beg sahaja iaitu 20kg, kerana kita memikirkan satu keluarga itu, jika besar maksimum pun (guna) 20kg (dan) jika keluarga kecil tiga hingga empat orang 10kg memadai untuk beras tempatan ini,” katanya.- Bernama

    Pekerja kedai runcit, Hamed Madam Billa sedang menyusun beras tempatan dan import ketika tinjauan Bernama di Kampung Dato Sulaiman Menteri kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda