Monday, July 8, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    150,000 hektar hutan primer Indonesia terancam

    BANGKOK, 5 JULAI – Sejak 2001, lebih 700,000 hektar hutan di Indonesia telah ditebang untuk tujuan perlombongan, termasuk kawasan hutan primer. Analisis baharu menggunakan data satelit menunjukkan kesan penebangan hutan tersebut, baru-baru ini.

    Pasukan daripada syarikat pemuliharaan yang dipanggil TreeMap menggunakan imejan resolusi tinggi daripada berbilang satelit dan dua dekad data daripada program Landsat untuk memetakan lokasi lombong dan infrastruktur berkaitan serta menjejaki penebangan hutan.

    Hasil analisis menunjukkan bahawa perlombongan, termasuk lombong terbuka, kemudahan pemprosesan, kawasan tapak pelupusan dan jalan raya, menyebabkan penebangan hutan seluas 7,210 kilometer persegi antara 2001 dan 2023.

    Daripada kawasan tersebut, sekitar 150,000 hektar merupakan hutan primer yang mempunyai stok karbon tinggi dan pokok besar yang masih utuh. Penemuan itu didedahkan dalam laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan Nusantara Atlas.

    Atlas Nusantara juga menunjukkan kehilangan litupan hutan secara dramatik melalui urutan imej bergerak ketika lombong dan infrastruktur berkaitan berkembang.

    Pengenalpastian lombong dilakukan dengan gabungan ‘tafsiran visual dan pembelajaran mesin’, seperti yang dijelaskan oleh pengasas TreeMap, David Gaveau.

    “Untuk lombong lubang terbuka, ia boleh dikenal pasti dengan mudah melalui corak bulatan berlapis pada dinding lombong arang batu, atau dengan lokasinya yang cenderung berhampiran dengan sungai untuk lombong emas,” jelasnya.

    Di samping itu, semua jenis lombong mempunyai ‘ciri spektrum’ yang tersendiri dan mudah dikesan berdasarkan ukuran tenaga. – AFP

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis buru lelaki tikam wanita

    SYDNEY, 8 JULAI – Polis Australia telah memulakan operasi pemburuan dengan serta-merta selepas seorang wanita maut ditikam di barat Sydney hari ini. Kira-kira jam 1:40...