Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program tumpu dasar awam dan pengurusan negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Seramai 29 orang peserta menyertai Program Perkembangan Eksekutif (EDP) bagi Pegawai-pegawai Kanan dalam Bidang Dasar Awam dan Pengurusan ke-19.

    Program anjuran Kementerian Pertahanan itu menyaksikan majlis pembukaan yang berlangsung di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Bolkiah Garison, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan perasmian program berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.

    Dalam ucapan pembukaan, beliau menekankan mengenai reka bentuk program yang mendukung dasar terkini yang memberikan para peserta program gambaran mendalam tentang selok-belok dasar awam dalam persekitaran yang sentiasa mengalami arus perubahan.

    Di samping itu, beliau juga menekankan penyertaan dari pelbagai negara dan kementerian, bersama fakulti perguruan dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP), yang akan terus menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik terhadap pertimbangan dasar.

    Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Gambar ramai semasa majlis yang berlangsung di IPPSSHHB, Bolkiah Garison, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kumpulan LKYSPP yang diketuai oleh Felo Penyelidik Kanan di LKYSPP, Dr Woo Jun Jie, menyentuh mengenai hubungan erat yang berterusan antara kedua-dua buah institusi dalam bidang pendidikan dan pembangunan profesional.

    EDP ke-19 menyaksikan penyertaan 29 orang peserta termasuk 12 orang pegawai kanan tentera yang berpangkat leftenan kolonel dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB); dua orang pegawai kanan dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB); lapan orang pegawai kanan daripada kementerian-kementerian kerajaan iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta tujuh orang pegawai kanan dari luar negara iaitu Republik Indonesia, Malaysia, Kesultanan Oman, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Diselenggarakan oleh IPPSSHHB, program selama 12 minggu itu berlangsung dari 9 Julai hingga 11 Oktober. Sama seperti tahun lalu, EDP ke-19 akan dikendalikan oleh ahli fakulti yang terdiri daripada para akademik dan pakar-pakar berpengalaman dari LKYSPP, Universiti Kebangsaan Republik Singapura.

    Program itu juga akan merangkumi pengisian tempatan seperti pembentangan daripada penceramah-penceramah jemputan khas dan lawatan-lawatan ke beberapa kementerian dan agensi.

    Ia bertujuan memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang persekitaran strategik Negara Brunei Darussalam di samping tumpuan utamanya terhadap dasar awam dan pengurusan.

    Seramai 447 orang pegawai kanan telah mengikuti EDP anjuran Kementerian Pertahanan sejak ia mula diperkenalkan pada 2004.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda