KUALA LUMPUR, 29 OKT – Sejumlah 707 mangsa warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dan dihantar pulang ke tanah air setakat semalam, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata hasil kerjasama kementerian berkenaan, perwakilan Malaysia di luar negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan, sejumlah 199 orang lagi sedang dijejaki, menjadikan jumlah warga negara Malaysia yang terlibat seramai 906 orang.
“Jumlah ini adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada waris, ahli keluarga, rakan, polis dan individu itu sendiri.
“Fenomena yang dikenali sebagai sindiket penipuan tawaran pekerjaan atau lebih dikenali sebagai job scam ini telah mendapat perhatian ahli-ahli yang berhormat di mana kementerian ini juga sering mendapat laporan daripada Pejabat Khidmat Ahli-ahli Yang Berhormat berkaitan kes ini.
“Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya,” katanya bagi menjawab pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai jumlah kes rakyat Malaysia yang telah ditipu untuk ke luar negara dan dipaksa atau melibatkan diri dalam penipuan dalam talian, dalam tempoh lima tahun bermula 2020.
Mohamad berkata pada masa yang sama, seramai lima individu telah didakwa di mahkamah kerana terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Mereka didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Beliau berkata mereka didakwa hasil maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO). – Bernama