Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    71 bertanding dalam musabaqah Al-Quran mulai 10 November

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Seramai 71 peserta terdiri daripada 57 qari dan 14 qariah akan memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 10 hingga 12 November ini.
     
    Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), musabaqah berkenaan akan diadakan mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung semula pada 1:30 hingga 4 petang di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
     
    Sementara itu, majlis pengumuman keputusan dan penyampaian hadiah serta cenderamata kepada para peserta dan hakim akan berlangsung pada 13 November jam 1:45 petang di lokasi yang sama.
     
    Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengikuti musabaqah tersebut, KHEU akan menyiarkan secara langsung melalui akaun Instagram rasmi @kheu.brunei serta platform Microsoft Teams di pautan https://tiny.cc/kheumusabaqah.
     
    Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan medan kelayakan ke peringkat akhir kebangsaan dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
     
    Penganjuran musabaqah itu dihasratkan dapat memberikan pendedahan serta galakan kepada para qari dan qariah negara bagi meningkatkan mutu bacaan Al-Quran, di samping menarik minat masyarakat untuk mempelajari teknik bacaan yang betul dan teratur.
     
    Musabaqah itu merupakan acara tahunan anjuran KHEU yang bertujuan untuk memartabatkan bidang Al-Quran di peringkat kebangsaan serta mendorong masyarakat ke arah celik ilmu Al-Quran sebagai wadah zikir, doa dan peringatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
     
    GAMBAR FAIL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda