Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Seramai 71 pelajar, terdiri daripada 29 lelaki dan 42 perempuan, telah diterima masuk ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi sesi 1446H/2025M yang berlangsung kelmarin di Dewan Kuliah ITQSHHB, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di ibu negara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar baharu, diikuti bacaan Surah Al-Mujadilah, ayat 11 hingga ayat 15 oleh Awang Adam Syahier Al-Hamiidy bin Mohammad Ali, manakala intisari ayat turut dibacakan oleh Awang Mohammad Adli Hafizh.
Persembahan video aktiviti Minggu Ta’aruf pelajar baharu turut diserikan dalam majlis tersebut.
Penyerahan Mushaf Al-Quran kepada pelajar baharu disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Bacaan ikrar yang diketuai Awang Muhammad Azhari bin Ruslani dan simbolik penyerahan pelajar baharu daripada pihak ibu bapa kepada institut turut diadakan. Penyerahan disempurnakan oleh Haji Muhamad Syasuandi bin Haji Abu Bakar kepada Awang Muhammad Nurhanis bin Ismail.
Majlis juga menyaksikan pelancaran aplikasi GenQu Academy oleh Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim, sebagai langkah memperkasa integrasi teknologi dalam pendidikan Al-Quran.
Acara diteruskan dengan bacaan Zikir Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh pelajar Majlis Perwakilan Pelajar, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Haji Ubaidillah bin Haji Abdul Mughni.
Program orientasi atau Minggu Ta’aruf pelajar baharu telah berlangsung selama enam hari, bermula 13 hingga 18 Januari, dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan membentuk sahsiah dan memperkenalkan kehidupan di ITQSHHB.
Antara aktiviti yang diaturkan sepanjang sesi orientasi tersebut seperti Bengkel Pengenalan Hafazan Al-Quran; Taklimat mengenai Bahagian Asrama dan Bahagian Perpustakaan serta tinjauan bangunan ITQSHHB; dan Taklimat Pengenalan Bahagian Kaunseling dan Kerjaya.
Di samping itu, turut diadakan kem motivasi dan kepimpinan; kelas Al-Quran, solat Sunat Dhuha berjemaah; Malam Cinta Rasul; cabaran hafazan; Transformasi Huffaz, taklimat kebakaran; etika pakaian; dan aktiviti sukan serta kuliah Subuh.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; serta pegawai kanan KHEU, ibu bapa pelajar baharu, dan kakitangan ITQSHHB.