Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    72 graduan UBD terima anugerah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Seramai 72 orang graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) menerima anugerah pingat, hadiah buku dan anugerah kecemerlangan sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas pencapaian akademik yang cemerlang pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, di sini, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan penganugerahan tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof yang juga merupakan ahli alumni UBD dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh serta pegawai dan kakitangan UBD, penaja dan anggota keluarga penerima anugerah.

    Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dalam ucapannya melahirkan harapan agar para penerima pingat dan hadiah buku akan terus berusaha dan mendapat pencapaian yang cemerlang dalam apa jua bidang yang akan diceburi selepas ini.

    Beliau mengongsikan bahawa, pada majlis itu, lima orang graduan Sarjana Muda menerima Pingat Perak Universiti, yang dianugerahkan kepada graduan-graduan cemerlang berkedudukan teratas dalam program masing-masing.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika menyampaikan Pingat Perak Universiti kepada salah seorang penerima.

    Pada masa yang sama, tambah beliau, seramai 70 orang pelajar peringkat Sarjana dan Sarjana Muda menerima Hadiah Buku Universiti, manakala itu, seorang pelajar peringkat Diploma menerima Anugerah Kecemerlangan.

    Penerima Pingat Perak Universiti ialah Dayang Fatin Batrisya Nadiah binti Haji Marzuki, Abdul Khaaliq Saadeq Tasad, Liaw Kian Siong, Awang Muhammad ‘Irfan bin Mejar (B) Haji Abdul Rahman dan Dayangku Iffah Haziqah binti Pengiran Mohamad.

    Awang Muhammad Mu’az bin Haji Imran pula merupakan penerima paling cemerlang pada kali ini sekali gus dianugerahkan Pingat Naib Canselor.

    Manakala itu, daripada seramai 60 orang penerima Hadiah Buku Universiti kali ini, 28 daripadanya ialah penerima bagi level 4000 dan 5000 (major), 17 penerima bagi level 2000 dan 3000 (major) serta 15 orang bagi level 1000 (major).

    Sementara itu, seorang penerima bagi pencapaian tertinggi dalam modul Melayu Islam Beraja dan seorang penerima bagi pencapaian tertinggi dalam Program Sarjana Muda Sains Kesihatan (Perubatan) dan seorang pelajar tahun akhir Diploma turut menerima Anugerah Cemerlang pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda