Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Sepanjang Januari hingga April 2023, sebanyak 72 buah kenderaan didapati terbiar di kawasan-kawasan letak kereta awam dan di kawasan tepi jalan raya tanpa kebenaran yang sah.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 16 buah kenderaan berkenaan telah dialihkan ke tapak pelupusan melalui Jawatankuasa Abandoned Vehicles Nationwide Clean-Up Project (AVNP), manakala 56 buah kenderaan lagi telah dialih sendiri oleh pihak yang bertanggungjawab ke atas kenderaan-kenderaan berkenaan.
Sepanjang Mei hingga Jun 2023, sebanyak 35 buah kenderaan telah pun dikenal pasti terbiar lama dan telah diberikan surat amaran kepada pemilik kenderaan sebelum diambil tindakan selanjutnya
Tindakan dan dapatan itu merupakan hasil daripada operasi bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) bagi Projek Kebangsaan AVNP.
JBBSB mengingatkan bahawa di bawah Bab 12(1) (f) Penggal 30 Perintah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021, mana-mana kenderaan terbiar di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga $1,000 bagi mana-mana individu dan $2,000 bagi mana-mana badan atau pun syarikat bagi sebuah kenderaan.