Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    7,200 pendatang haram, semua PTS sesak

    TAWAU, 1 NOV – Kesemua empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah ketika ini sesak dengan 7,200 tahanan pendatang haram dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Filipina dan China.

    Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata  kesesakan itu berpunca dari kapal yang sepatutnya membawa pendatang haram warga Filipina untuk tujuan pengusiran kini dalam proses selenggara.

    “Syarikat yang diberikan perkhidmatan tender bagi menguruskan perkhidmatan pengusiran berdepan isu kapal, ketika ini kapal dari Filipina itu sedang melalui proses ‘drying dock’ (proses memastikan keselamatan kapal dan pelayaran) selama dua bulan.

    “Bagaimanapun, proses servis itu akan selesai dan dijangka pada 10 Nov ini kapal berkenaan beroperasi semula dengan membuat pelayaran ke perairan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program suntikan vaksin hepatitis V dan vaksin influenza melibatkan 103 pegawai dan anggota MKN di sini, hari ini. Empat PTS yang terdapat di Sabah adalah di Papar, Kota Kinabalu, Sibuga di Sandakan dan Tawau.

    Dalam pada itu, Sharifah Sitti Saleha turut memuji kerjasama diberikan Konsulat Republik Indonesia di negeri ini yang cekap dan pantas menguruskan penghantaran balik warga republik itu ke Indonesia melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

    “Bagi warga Filipina pula dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Zambonga Filipina,” katanya menambah sehingga Ogos tahun ini, MKN telah menghantar 7,844 warga asing pulang ke negara asal. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda