Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    72,000 gambar peribadi pengguna aplikasi Tea bocor

    LOS ANGELES, 27 JULAI — Tea merupakan aplikasi yang direka khas untuk membantu wanita berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai lelaki yang mereka temui, kini berdepan dengan isu keselamatan serius selepas berlaku pencerobohan data besar-besaran yang mendedahkan ribuan gambar peribadi pengguna, termasuk swafoto dan gambar kad pengenalan.

    Menurut kenyataan rasmi syarikat pada Jumaat, sekitar 72,000 imej telah bocor secara dalam talian, termasuk 13,000 gambar swafoto yang digunakan untuk proses pengesahan akaun, manakala 59,000 lagi merupakan gambar yang sebelum ini boleh dilihat secara umum dalam aplikasi menerusi siaran, komen dan mesej peribadi. Semua imej itu telah diakses tanpa kebenaran.

    Bagaimanapun, Tea menegaskan tiada alamat e-mel atau nombor telefon pengguna yang terjejas dan kebocoran itu hanya melibatkan pengguna yang mendaftar sebelum Februari 2024.

    “Tea kini sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber pihak ketiga dan beroperasi 24 jam untuk memperkukuh sistem mereka,” kata jurucakap Tea. “Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan data lain telah terjejas. Melindungi privasi dan data pengguna adalah keutamaan kami.”

    Tea dipromosikan sebagai satu platform selamat untuk wanita menilai latar belakang lelaki secara anonim sebelum bersetuju untuk berjumpa, terutamanya mereka yang dikenali menerusi aplikasi temu janji seperti Tinder atau Bumble. Deskripsi aplikasinya menyatakan Tea sebagai ‘aplikasi wajib bagi wanita untuk mengesan tanda amaran sebelum temu janji pertama’.

    Laporan awal mengenai kebocoran itu diterbitkan oleh 404 Media, yang mendedahkan pengguna laman forum 4Chan menemui pangkalan data yang tidak selamat dan membolehkan sesiapa sahaja mengakses bahan dari Tea.

    “Semasa melaporkan berita ini, pengguna 4Chan telah berkongsi satu pautan yang mengandungi senarai fail terperinci yang berkait dengan aplikasi Tea. 404 Media telah melihat senarai fail tersebut, namun dalam tempoh sejam terakhir, pautan itu telah dikunci dan kini memaparkan mesej ‘kebenaran ditolak’,” lapor 404 Media. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda