Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbangan perdagangan Jun 2024 catat lebihan $347.2 j

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan imbangan perdagangan lebihan sebanyak $347.2 juta bagi Jun 2024, berbanding dengan defisit $154.9 juta pada Jun 2023.

    Ia didorong oleh peningkatan nilai eksport sebanyak 15.5 peratus kepada $1,007.5 juta manakala nilai import menurun sebanyak 35.7 peratus kepada $660.3 juta.

    Kenyataan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Jun 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, menyatakan bahawa penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 71.5 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 20.7 peratus serta jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 6.9 peratus.

    Pasaran eksport utama adalah Republik Rakyat China dengan 22 peratus, diikuti oleh Singapura iaitu 19.9 peratus serta Australia sebanyak 11.5 peratus. Komoditi eksport terbesar ke negara-negara berkenaan adalah bahan api galian dan bahan kimia.

    Manakala import pada Jun 2024 adalah bernilai $660.3 juta. Tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, yang menyumbang sebanyak 62.9 peratus, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 11.2 peratus serta makanan sebanyak 8.6 peratus.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 59.5 peratus diikuti oleh Republik Rakyat China sebanyak 14.4 peratus dan Australia sebanyak 6.1 peratus dengan bahan api galian, makanan serta jentera dan kelengkapan pengangkutan sebagai import komoditi utama daripada rakan dagangan.

    Secara keseluruhan, jumlah perdagangan menurun sebanyak 12.2 peratus daripada $1,900.1 juta pada Jun 2023 kepada $1,667.8 juta berikutan penurunan import sebanyak 35.7 peratus.

    Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan adalah 60.2 peratus diikuti oleh barangan modal sebanyak 36 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan sebanyak 3.8 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Laporan penuh IMTS bagi Jun 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    Perangkaan perdagangan barangan antarabangsa Jun 2024. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda