Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    73 anak pokok ditanam

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Sebanyak 73 anak pokok jenis baru-baru, ru laut dan penaga laut ditanam oleh para jemputan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam dalam aktiviti menanam pokok yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiyati binti Haji Abdul Wahab.

    Dalam ucapannya, Duta Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai menyatakan bahawa aktiviti itu diadakan bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Raja Thailand dan juga untuk menyokong strategi ke-2 Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei Darussalam (BNCCP) bagi meningkatkan sinki karbon Brunei dengan menyasarkan penanaman sebanyak 500 ribu pohon pokok menjelang 2035.

    Beliau menyatakan bahawa aktiviti berkenaan merupakan kali ketiga diadakan sejak 2021 di mana walaupun komuniti Thailand di Brunei adalah kecil tetapi ia tetap berbangga untuk mengambil bahagian dalam sama-sama menjayakan serta menyokong matlamat tersebut.

    PYT Boosara Kanchanalai turut berkata aktiviti itu merupakan usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang erat yang terjalin sekian lamannya.

    Majlis diteruskan dengan aktiviti menanam pokok yang disempurnakan bersama oleh Hajah Tutiyati, PYT Boosara Kanchanalai serta jemputan-jemputan khas.

    Aktiviti berkenaan bermatlamat untuk menyokong inisiatif Protokol Hijau Kerajaan Brunei serta mempromosikan gaya hidup mampan dalam usaha bagi mengurangkan pelepasan karbon negara selaras dengan BNCCP bagi membuka jalan untuk negara menjadi sebuah negara mampan.

    Hajah Tutiyati yang hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Setiausaha Tetap di KSSUP bergambar ramai di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda