Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Seramai 730 orang pelajar baru Politeknik Brunei sesi akademik 2017-2018 hari ini memulakan minggu orientasi pengambilan ke-7 yang berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai Semasa menyampaikan ucapan perasmian minggu orientasi berkenaan telah menyeru para pelajar baru untuk mengambil perhatian mengenai nilai-nilai Politeknik Brunei dari perspektif pelajar iaitu Integriti, Kepimpinan, Hormat, Inovasi, Kolaborasi dan Kecemerlangan.
Beliau juga berharap semua pelajar akan menggunakan kesempatan minggu orientasi berkenaan untuk mendekati dan menghayati sistem pembelajaran dan pengajaran serta sistem pentadbiran dan pengurusan yang sedia ada di Politeknik Brunei.
Semua pelajar baru berkenaan juga diharap akan menyedari peluang istimewa untuk belajar dan membangunkan diri supaya menjadi sumber manusia yang berguna dan penting untuk pembangunan Negara.
Dalam ucapannya itu, beliau juga menjelaskan bahawa sejak Kursus Level 5 Diploma diperkenalkan pada Julai 2015, pihak pengurusan melalui senat masih memberi perhatian bagi memantau pengendalian garis panduan pensijilan dan dasar yang sedia ada.



Politeknik Brunei telah membuat sedikit pindaan terhadap garis panduan dasar tersebut pada Jun tahun ini untuk membantu dan memastikan pelajar diberikan pertimbangan yang adil dari segi penilaian dan pencapaian akademik.
Dalam masa yang sama, tambahnya, setiap usaha dilakukan dengan memberi perhatian sepenuhnya untuk memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran adalah dipantau dan dikekalkan bagi penganugerahan diploma dari Politeknik Brunei.
“Pelajar juga disarankan untuk mengekalkan keseimbangan antara aktiviti kokurikulum dengan keperluan pengajian akademik di sepanjang kursus di samping mengekalkan komunikasi berterusan dengan penyelaras kumpulan masing-masing supaya sokongan dan bantuan dapat diberikan secepatnya,” tambahnya.
Minggu orientasi selama dua hari itu diisi dengan program-program yang dapat membantu pelajar untuk mengenali Politeknik Brunei dengan lebih dekat dan memberikan gambaran kehidupan sebagai pelajar di sana.

Selain diisi dengan aktiviti yang diharap dapat membantu para pelajar menjalani pengajian dan kehidupan yang produktif di politeknik, pelajar juga diberikan taklimat mengenai pendaftaran dan peperiksaan, kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan modul pengayaan oleh Pusat Pembangunan dan Inovasi Pelajar (CSDI).
Pada tahun ini, sebanyak 21 program ditawarkan oleh Politeknik Brunei di mana daripada jumlah tersebut, 18 program Level 5 Diploma yang sebanding dengan kelulusan Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND) ditawarkan di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah ICT dan Sekolah Sains dan Kejuruteraan.
Manakala itu, tiga program lagi adalah Program Level 4 Diploma yang sebanding dengan kelulusan Diploma Biasa Kebangsaan (OND) yang dikendalikan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam.
Pada majlis tersebut, para pelajar baru juga mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.
Majlis juga diserikan dengan acara melafazkan ikrar daripada pelajar pengambilan ke-7 sesi akademik 2017/2018 dan minggu orientasi pengambilan pelajar baru ini akan diakhiri dengan Majlis Bacaan Ratib Al-Attas yang akan diadakan esok.