Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    732 ahli MPR Indonesia angkat sumpah

    JAKARTA, 1 OKT – Seramai 732 ahli Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia bagi penggal 2024 hingga 2029 secara rasmi mengangkat sumpah di bangunan Parlimen, Jakarta Pusat, hari ini.

    Majlis baharu ini terdiri daripada 580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan 152 ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD), yang kesemuanya mengangkat sumpah dalam sesi berasingan awal hari ini.

    Sesi itu dipengerusikan buat sementara oleh ahli tertua, Guntur Sasono, 78, bersama ahli termuda, Larasati Moriska, 22. Ketua Hakim Negara Muhammad Syarifuddin menyaksikan upacara angkat sumpah berkenaan.

    Ahli yang baru mengangkat sumpah akan berkhidmat di Parlimen selama lima tahun akan datang, susulan pilihan raya perundangan yang diadakan serentak dengan pilihan raya Presiden dan Naib Presiden pada 14 Februari.

    Dalam ucapan penutupnya, Guntur menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap kepimpinan serta ahli MPR terdahulu, mengiktiraf kejayaan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaan dalam memajukan masyarakat dan negara.

    “Melangkah ke hadapan, tanggungjawab ini akan dipikul oleh kita semua. Saya berharap kita dapat melaksanakan tugas ini dengan berintegriti serta meletakkan kepentingan negara di atas segala-galanya,” katanya pada sesi yang turut dihadiri Presiden Joko Widodo, yang akan menyerahkan kuasa kepada Presiden terpilih Prabowo Subianto pada 20 Oktober.

    Sidang Parlimen pada sebelah petang akan diteruskan dengan beberapa agenda penting, termasuk pemilihan speaker untuk MPR, DPR dan DPD.

    MPR, sebagai badan legislatif tertinggi, bertanggungjawab untuk meminda perlembagaan serta melantik presiden dan naib presiden.

    DPR berfungsi sebagai dewan rendah yang bertanggungjawab merangka undang-undang, meluluskan belanjawan dan memantau cabang eksekutif, manakala DPD mewakili wilayah dan memberi tumpuan kepada isu-isu serantau. – Bernama

    Gambar Presiden Joko Widodo (kanan), dipamerkan sebelum upacara angkat sumpah ahli parlimen di bangunan Parlimen di Jakarta pada 1 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda