735 jalani pengasingan diri, tiada kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Seramai 735 orang kini sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan sebanyak 733 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam lalu.

Jumlah berkenaan membawa kepada 4,140 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 dan 46,568 ujian makmal telah dijalankan sejak Januari 2020.

Kementerian Kesihatan dalam Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini turut memaklumkan bahawa setakat pukul 12 tengah hari, tiada kes baharu telah dicatatkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 142 orang dan cuma satu kes yang masih aktif.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.