Friday, April 25, 2025
31.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    74 ahli baharu MPP Maktab Duli sedia berkhidmat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah mengadakan Majlis Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2025/2026 di Pusat Pembelajaran dan Perkhidmatan Pelajar (SLSC) kelmarin.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Noramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, selaku tetamu kehormat majlis.

    Di majlis itu, seramai 74 orang ahli jawatankuasa pelajar yang baharu telah dilantik secara rasmi menandakan penutup penyertaan mereka dalam Kem Waja MPP 2025 iaitu sebuah program latihan kepimpinan yang berlangsung selama lima hari dari 14 hingga 20 April lalu.

    Kem tersebut menyediakan latihan intensif untuk memupuk ciri-ciri kepimpinan penting seperti integriti, komunikasi, membuat keputusan, pengurusan masa, dan kerjasama selain menanamkan rasa tanggungjawab dan perkhidmatan yang mendalam kepada pesertanya.

    Antara ahli baharu majlis yang dilantik, Awang Muhammad Lukman Hakim bin Zulfadhli dipilih sebagai Yang Di-Pertua MPP bagi sesi 2025/2026, manakala Emmanuel Bofill Tomas sebagai Naib Yang Di-Pertua 1, dan Dayang Syarah Rafeeqah binti Shahrin sebagai Naib Yang Di-Pertua 2.

    Acara tersebut menampilkan serah terima tugas secara simbolik, diikuti dengan ucapan perasmian daripada Yang Di-Pertua yang baharu dilantik, penyampaian sijil pelantikan rasmi, dan video kenang-kenangan yang merayakan pencapaian majlis lama.

    Majlis tersebut berakhir dengan Ikrar Pelajar, yang mengukuhkan perpaduan dan visi bersama badan pelajar Maktab Duli.

    Acara ini bukan sahaja menandakan permulaan rasmi penggal baharu bagi MPP, tetapi juga mencerminkan komitmen kuat Maktab Duli dalam membangun pemimpin pelajar yang hidup berlandaskan nilai integriti, khidmat, kerjasama dan kecemerlangan akademik.

    Gambar serahan Maktab Duli

    Ucapan perpisahan oleh YDP MPP 24-25, Ak Luqman ‘Amri Al-Hakeem.
    YDP MPP 2025-26 yang bahari dilantik, Muhammad Lukman Hakim menyampaikan ucapan.
    Gambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN MAKTAB DULI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda