Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    74 maut kereta api terbakar

    RAHIM YAR KHAN, 31 OKT – Kira-kira 74 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas silinder gas untuk memasak meletup di atas sebuah kereta api yang penuh dengan penumpang di Pakistan hari ini, sebahagiannya meninggal dunia selepas terjun dari gerabak untuk melarikan diri daripada api yang marak.

    Rakaman televisyen menunjukkan api marak di tiga buah gerabak ketika orang ramai kedengaran menangis semasa insiden itu, di sebuah kawasan pedalaman tengah wilayah Punjab.

    Sebahagian penumpang – kebanyakannya penumpang yang membuat perjalanan ke sebuah perhimpunan agama terbesar Pakistan – memasak hidangan sarapan apabila dua buah silinder gas mereka meletup, menurut Ali Nawaz, seorang pegawai kanan Pakistan Railway memberitahu AFP.

    Ramai rakyat Pakistan membawa makanan dalam perjalanan jauh menggunakan kereta api namun silinder gas sepatutnya diharamkan. Menteri kereta api Pakistan, Sheikh Rasheed Ahmed kemudiannya memberitahu wartawan adalah satu ‘kesilapan’ membenarkan gas silinder dibawa naik ke dalam kereta api.

    Berpuluh-puluh orang pula mengerumuni sepanjang landasan melihat gerabak yang terbakar yang telah ditanggalkan daripada kereta api, melalui imej-imej televisyen yang ditunjukkan.
    Anggota bomba turut berkejar ke tempat kejadian berhampiran daerah Rahim Yar Khan.

    Pekerja penyelamat dan askar-askar juga kelihatan, ketika mayat-mayat ditutup kain putih diusung pergi.

    “Sebuah gas silinder meletup dan saya tidak tahu bagaimana, api merebak di mana-mana,” kata seorang mangsa yang terselamat, Muhammad Imran memberitahu AFP dari sebuah hospital di Rahim Yar Khan.

    “Saya terjun keluar dari kereta api untuk menyelamatkan diri. Ada banyak lagi orang di belakang saya yang menolak saya,” katanya. Manakala seorang superintenden perubatan di hospital di Liaquatpur, sebuah bandar berhampiran, memberitahu AFP bahawa sejumlah mangsa mati kerana kecederaan kepala ketika mereka melompat keluar dari kereta api yang bergerak.

    Menurutnya, sejumlah 44 lagi cedera. Menurut pegawai, kebanyakan mayat-mayat rentung teruk dan sukar dikenal pasti. – AFP

    Sebuah gerabak kereta api yang terbakar berhampiran Rahim Yar Khan di wilayah Punjab, 31 Oktober. Kira-kira 74 maut dan puluhan lagi cedera apabila silinder gas memasak meletup dalam kereta api penuh penumpang itu. –AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda