BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 74 pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai Berakas Garison, hari ini.
Menurut kenyataan yang diterima, Majlis Penyampaian Lencana Kenaikan Pangkat telah disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Pada majlis itu, dua pegawai telah dinaikkan pangkat dari pemangku mejar ke mejar tetap, 27 kapten/leftenan (TLDB) tetap menjadi mejar/leftenan komander (TLDB) tetap, empat kapten/leftenan (TLDB) tetap menjadi pemangku mejar/ leftenan komander (TLDB), seorang pemangku kapten naik pangkat menjadi kapten tetap, 30 leftenan/leftenan madya (TLDB) menjadi kapten/leftenan (TLDB) tetap dan 10 leftenan/leftenan madya (TLDB) menjadi pemangku kapten/leftenan (TLDB).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah angkatan bersama ABDB, timbalan setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga pegawai yang telah dinaikkan pangkat.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB, bagi memberkati majlis tersebut.

– GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN