Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    74 pelajar ikuti program tingkat kesedaran HIV

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Usaha terus dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (Majlis BDAIDS) dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia menerusi program penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya kalangan remaja dan pelajar sekolah.

    Sehubungan dengan itu, Majlis BDAIDS melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) di mana ia merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual.

    Program itu dikendalikan di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) di mana seramai 74 pelajar mengambil bahagian dalam program yang berlangsung di maktab berkenaan pada 12 Julai lalu.

    Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kesedaran maktab berkenaan, di mana program interaktif berkenaan menggabungkan audio dan visual serta aktiviti interaktif untuk menyampaikan maklumat kepada golongan muda termasuk mesej yang disesuaikan kepada persekitaran tempatan.

    Sesi berkenaan diketuai oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene binti Mohd Jazlan Kashfi dengan disokong oleh sukarelawan daripada Majlis BDAIDS.

    Dayang Siti Kailene dan para sukarelawan Majlis BDAIDS bergambar ramai bersama para pelajar MDPMAMB. – GAMBAR SERAHAN MAJLIS BDAIDS

    Semasa sesi berkenaan, Dayang Siti Kailene menekankan pentingnya kefahaman HIV termasuk bagaimana virus itu merebak dan bagaimana ia boleh dicegah.

    Beliau juga menyampaikan pelbagai gambaran berguna bagaimana jangkitan HIV boleh berlaku, membantu menghapuskan mitos dan salah faham yang sering dihadapi oleh golongan muda.

    Di samping itu, beliau juga menyentuh mengenai kebimbangan kehamilan remaja, menerangkan mengenai kesannya kepada emosi, sosial dan fizikal kehidupan golongan muda.

    Beliau turut menekankan pentingnya untuk membuat keputusan yang bijak dan mengetahui bagaimana untuk menetapkan batasan yang sihat dalam perhubungan untuk mencegah kehamilan tidak dirancang serta melindungi kesihatan mereka.

    Sesi itu juga mengetengahkan statistik tempatan berkaitan dengan HIV di Brunei, menggariskan perlunya bagi kesedaran dan pendidikan yang lebih meluas.

    Majlis BDAIDS berharap para pelajar akan membawa maklumat berharga yang dipelajari daripada sesi berkenaan ke rumah, memanfaatkannya untuk membuat keputusan bijak serta berkongsi pengetahuan mereka dengan keluarga dan rakan sebaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda