Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    745 sertai Festival Olahraga

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum telah mengadakan Festival Olahraga Kanak-kanak Sekolah-sekolah Rendah Tahun 2023 yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar.

    Festival tiga hari itu menampilkan empat acara iaitu Formula Bends, Slide Swing Throw, Rythmic Jump Relay dan Ladder Recovery dan dibukakan kepada pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan.

    Seramai 745 orang murid termasuk murid-murid yang berkeperluan khas dari 62 buah sekolah rendah menyertai festival ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang pada hari pertama festival ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum di Kementerian Pendidikan, Hajah Rosediana binti Haji Hidop.

    Antara objektif festival ini adalah untuk memperkenalkan aktiviti sukan yang sesuai dengan keperluan fizikal dan pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak, di samping menarik minat kanak-kanak dalam aktiviti gerakan, memperkenalkan asas pergerakan olahraga dalam bentuk permainan, mempromosikan gaya hidup yang seimbang dan sihat serta menggalakkan aspek keseronokan dalam permainan.

    Pertandingan itu juga diharap dapat mempopularkan enam bidang olahraga melalui beberapa program pertandingan yang dipanggil A Team Event for Children, yang terdiri daripada tiga kumpulan acara iaitu Sprinting and Running Event Group, Jumping Event Group dan Throwing Event Group.

    Hajah Rosediana menyampaikan hadiah kepada salah satu pasukan semasa festival olahraga yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar. – Gambar serahan Jabatan Pendidikan Kokurikulum
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda