Oleh Salawati Haji Yahya –
TUTONG, 13 OGOS – Sekolah Rendah Kesuma Negara Bukit Beruang dan Sekolah Rendah Setia Negara Pengiran Mohammad Yusof, masing-masing diumumkan johan bagi Kluster 5 dan Kluster 6 dalam Festival Olahraga Kanak-kanak Sekolah-sekolah Rendah Tahun 2023 yang berlangsung di Padang Pusat Tingkatan Enam Tutong, hari ini.
Sementara naib johan bagi Kluster 5 dan Kluster 6 adalah Sekolah Rendah Lamunin dan Sekolah Rendah Penaga diikuti tempat ketiga masing-masing dari Sekolah Rendah Abdul Rashid, Tanjong Maya dan Sekolah Rendah Sungai Tali.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang pada hari ketiga festival ialah Ketua Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan.
Festival diadakan selama tiga hari berasingan dengan empat acara dipertandingkan iaitu Formula Bends, Slide Swing Throw, Rythmic Jump Relay dan Ladder Recovery dan dibukakan kepada pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan.
Cabaran festival anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu telah disertai kira-kira 745 orang murid termasuk murid-murid yang berkeperluan khas dari 62 buah sekolah rendah.
Antara objektif festival ini adalah untuk memperkenalkan aktiviti sukan yang sesuai dengan keperluan fizikal dan pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak.
Di samping itu, ia juga diharap dapat menarik minat kanak-kanak dalam aktiviti gerakan, memperkenalkan asas-asas pergerakan olahraga dalam bentuk permainan, merangsang pertumbuhan dan perkembangan fizikal serta mempromosikan gaya hidup yang seimbang dan sihat dan menggalakkan aspek keseronokan di dalam permainan.


