KOTA BELUD, 30 April – Seramai 75 ketua keluarga daripada empat kampung dari Kota Belud dan Kota Marudu hari ini menerima permit menduduki dan mengusahakan tanah bersempadan atau berada dalam kawasan Taman-Taman Sabah (TTS).
Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick kepada ketua keluarga terbabit masing-masing dari Kampung Lahanas, Kampung Lasau Podi dan Kampung Bubuk di Kota Belud serta Kampung Nalapak, Kota Marudu.
Ewon ketika berucap pada majlis itu di sini berkata pemberian permit berkenaan adalah satu pengiktirafan kepada kawasan tanah adat komuniti di kampung terbabit bagi membolehkan mereka menduduki sekali gus mengusahakan tanah dalam kawasan bersempadan dengan TTS.
“Semasa Taman Kinabalu diwartakan pada 55 tahun lalu, saya pasti penduduk di sekitar kaki Gunung Kinabalu memberikan pelbagai reaksi kerana mereka tidak lagi bebas memasuki kawasan itu untuk memburu, mengambil sumber hutan, menjalankan aktiviti rekreasi dan mengusahakan pertanian. Keadaan ini menimbulkan konflik dan menjejaskan hubungan kerjasama antara penduduk dan TTS.
“Saya difahamkan terdapat 13 kampung mempunyai isu pertikaian tanah dengan TTS terutama ketika pengukuran sempadan kawasan Taman Kinabalu dibuat pada 1990-an. Sudah tentu, komuniti mengharapkan penyelesaian mengenai isu itu,” katanya. – Bernama