Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    75 kru kapal tentera laut selamat

    WELLINGTON, 6 OKT – New Zealand berkata hari ini ia telah menyelamatkan kesemua 75 kru dari sebuah kapal tentera laut yang terkandas dan karam di perairan Samoa ketika menjalankan tinjauan terumbu.

    Perkhidmatan kecemasan bekerja sepanjang malam untuk menyelamatkan berpuluh-puluh kru dari HMNZS Manawanui yang karam selepas ia terlanggar terumbu di luar pantai selatan Upolu.

    Perkhidmatan kecemasan Samoa berkata, pasukan penyelamat bomba bekerja dari semalam hingga hari ini untuk mengumpul dan merawat 75 kru kapal.

    “Nasib baik, tiada sesiapa yang cedera parah dan tiada nyawa terkorban,” kata Pihak Berkuasa Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Samoa.

    Pemerintah Tentera Laut New Zealand, Shane Arndell, mengesahkan 75 kru kapal dan penumpang HMNZS Manawanui telah selamat di Samoa. Punca sebenar kejadian itu masih belum diketahui.

    HMNZS Manawanui digunakan untuk tinjauan hidrografi, operasi menyelam dan penyelamatan marin di mana ia dilengkapi dengan kren laut seberat 100 tan.

    Ia telah menjalankan tinjauan hidrografi 1.8 kilometer (km) dari pantai dalam keadaan sukar.

    Pihak berkuasa Samoa telah mengeluarkan amaran untuk pantai selatan pulau itu pada hujung minggu.

    Angin diramalkan sehingga 40km sejam dan ombak laut sehingga empat meter semasa kejadian itu. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda