Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    75 peratus isteri di Bangladesh alami keganasan

    DHAKA, 13 OKT – Lebih 75 peratus wanita berkahwin di Bangladesh dilaporkan mengalami keganasan daripada pasangan mereka sekurang-kurangnya sekali sepanjang hidup, menurut satu tinjauan kebangsaan yang diterbitkan hari ini.
     
    “Laporan ini mesti menjadi titik permulaan kepada tindakan transformasi bagi mencegah keganasan, memperkukuh perkhidmatan sokongan dan memastikan keadilan kepada mangsa,” kata Catherine Breen Kamkong dari Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA).
     
    Wanita muda berusia antara 15 hingga 19 tahun, serta mereka yang tinggal di kawasan setinggan bandar dan wilayah pesisir pantai yang terdedah kepada bencana seperti Barisal dan Khulna, dilaporkan mengalami kadar keganasan lebih tinggi iaitu melebihi 80 peratus, menurut tinjauan berkenaan.
     
    Tinjauan itu dijalankan oleh Biro Statistik Bangladesh dengan sokongan UNFPA, menemu bual lebih 27,000 wanita di seluruh negara. Kajian tersebut merekodkan insiden keganasan fizikal, seksual dan ekonomi serta mengawal tingkah laku.
     
    Ketua Biro Statistik Bangladesh, Mohammed Mizanur Rahman, berkata tinjauan itu menyediakan bukti kukuh mengenai ‘kadar, punca dan kesan keganasan’ yang amat penting bagi merangka dasar respons negara.
     
    Tinjauan Keganasan Terhadap Wanita itu merupakan edisi ketiga sejak 2011, menunjukkan sedikit penurunan berbanding 83 peratus wanita yang melaporkan mengalami keganasan pada 2015.
     
    Negara majoriti Islam dengan populasi sekitar 170 juta penduduk itu dijadual mengadakan pilihan raya pada Februari 2026, pilihan raya pertama sejak pemberontakan besar-besaran tahun lalu. 
     
    Kumpulan hak wanita utama Bangladesh sebelum ini turut melaporkan peningkatan mendadak dalam kes rogol yang dikaitkan dengan kemerosotan tahap keselamatan. – AFP 
     
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda