GENEVA, 11 APRIL – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membangkitkan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza apabila mendedahkan yang 75 peratus misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihalang daripada memasuki wilayah itu susulan sekatan dan serangan berterusan
oleh Israel, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam taklimat mingguan kepada media, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran mengenai sekatan ketat yang dikenakan Israel sejak 2 Mac lalu.
Sekatan itu menghalang kemasukan bekalan penting termasuk makanan dan ubat-ubatan, sekali gus memburukkan lagi krisis yang dihadapi penduduk awam Gaza.
Pegawai PBB itu turut memberi amaran yang sekatan itu juga menyebabkan keluarga di Gaza berdepan dengan kebuluran, kekurangan zat makanan serta ketiadaan bekalan air bersih, tempat perlindungan dan rawatan perubatan yang mencukupi.
Keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko penyakit dan kematian dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata serangan berterusan ke atas infrastruktur kesihatan di Gaza dengan lebih 400 petugas kemanusiaan dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023.
Satu insiden paling tragis berlaku pada 23 Mac apabila serangan Israel menyasarkan konvoi perubatan dan kecemasan, menyebabkan 15 petugas kesihatan dan bantuan maut. – Bernama
