Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Negara Brunei Darussalam tahun ini mencatatkan 1,000 jemaah haji yang akan menunaikan ibadah dengan sejumlah 759 orang merupakan jemaah kali pertama menunaikan ibadah tersebut.
Selebihnya iaitu 241 orang merupakan jemaah yang pernah menunaikan haji sebelum ini. Jumlah tersebut berdasarkan sistem kuota yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Haji Arab Saudi.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (gambar) dalam ucapannya pada Majlis Penutup Kursus Ibadah Haji yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, kriteria kelayakan bagi pemilihan termasuklah sebagai mahram atau pendamping kepada ahli keluarga terpilih menjalankan fardu haji, menunaikan haji bersama ahli keluarga yang pertama kali mengerjakannya dan bagi menunaikan haji nazar/badal.
Daripada jumlah tersebut, seramai 481 jemaah merupakan penerima kurnia tambang kerajaan, sementara 12 orang adalah penerima kurnia tambang mualaf, 69 penerima tambang Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan dua orang tajaan Penerbangan Diraja Brunei (RB), menurut Yang Berhormat Pehin.
Kursus ibadah haji bagi musim haji tahun 1439H/2018M ini diadakan setiap hari Jumaat dan Ahad bermula 6 April lalu sehingga 13 Mei di enam buah pusat kursus di seluruh negara.
Majlis penutup hari ini turut diserikan dengan Doa Selamat dan taklimat keselamatan dan undang-undang serta taklimat kesihatan disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei, Ketua Inspektor Awang Kifli bin Haji Mohd Daud; Pegawai Perubatan selaku ketua rombongan Perkhidmatan Perubatan Haji, Dr Haji Mahmud Shauqi bin Haji Mahmud Saedon; Pegawai Perubatan Kanan selaku timbalan ketua rombongan Perkhidmatan Perubatan, Dr Mohammad Ady Adillah bin Ahmad dan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Nur Asmaa Farah binti Mohd Yussop.
Taklimat-taklimat yang disampaikan dihasratkan dapat membantu bakal jemaah haji memahami isu keselamatan semasa di tanah suci dan tidak melibatkan diri dengan aktiviti atau propaganda yang berunsurkan politik atau menyebarkan risalah-risalah yang bertentangan syariat Islam, menjaga kesihatan diri dan mengambil ubat-ubatan dengan cara betul dan teratur.
Kursus ibadah haji ini juga memberi peluang kepada bakal jemaah haji mengeratkan silaturrahim di kalangan mereka dan memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman bagi mereka yang pernah menunaikan haji sebelum ini. Ini bolehlah dianggap sebagai permulaan sesi kenal seterusnya akan dijalin lagi semasa berada di Tanah Suci nanti.