Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Kementerian Kesihatan telah memaklumkan mengenai status terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam bagi hari ini, setakat jam 12 tengah hari, tiada kes baharu telah dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 148 orang, dan satu kes yang masih aktif.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (180 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak tujuh kes.
Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.
Selain itu, turut dikongsikan juga ialah ringkasan pengasingan diri iaitu sejumlah 305 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 7,592 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 146 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 69,473 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.