DUBAI, 4 OGOS –Kira-kira 76 orang terbunuh dan puluhan lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang membawa kebanyakan migran dari Ethiopia karam di luar pesisir Yemen, menurut pegawai kepada AFP hari ini.
Pegawai keselamatan Yemen berkata, 76 mayat telah ditemui dan 32 orang berjaya diselamatkan dalam tragedi kapal karam di Teluk Aden.
Agensi migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memaklumkan, terdapat 157 orang di atas bot tersebut.
Insiden itu berlaku di luar wilayah Abyan di selatan Yemen, sebuah destinasi yang kerap menjadi tumpuan bot penyeludup yang membawa migran Afrika dengan harapan untuk sampai ke negara-negara Teluk yang kaya.
Sebahagian daripada mangsa yang terselamat telah dipindahkan ke bandar Aden, yang terletak berhampiran Abyan, menurut seorang pegawai keselamatan.
Agensi PBB, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), sebelum ini melaporkan angka korban adalah seramai 68 orang.
Ketua misi IOM di Yemen, Abdusattor Esoev, memberitahu AFP, “nasib mereka yang masih hilang masih belum diketahui”.
Manakala, IOM turut merekodkan kira-kira 558 kematian di laluan Laut Merah tahun lalu, dengan 462 daripadanya berpunca daripada kemalangan bot dan pada bulan lalu dan kira-kira lapan orang maut selepas penyeludup memaksa migran turun dari bot di Laut Merah, menurut agensi migrasi PBB.
Bot yang karam di luar pesisir Abyan itu membawa kebanyakan migran Ethiopia, menurut pengarah keselamatan wilayah itu dan sumber dari IOM.
Pasukan keselamatan Yemen sedang menjalankan operasi untuk mengeluarkan sejumlah besar mayat, kata pihak berkuasa Abyan, kelmarin. – AFP


