BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Seramai 76 pelajar dari Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Hasan, Kampung Kilanas telah diraikan pada pagi tadi atas pencapaian akademik mereka dalam majlis penyampaian anugerah akademik tahunan sekolah bagi BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE, Program Pearson BTEC Kohot 13 dan Program Pra-Vokasional untuk tahun 2024.
Dalam majlis tersebut, dua pelajar turut diraikan kerana berjaya menamatkan Program Pra-Vokasional kohot 2020-2024, serta tujuh pelajar kerana menamatkan Program BTEC Kohort 13 (2023-2024).
Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Ketua Bahagian Akademik, Program dan Perkhidmatan Pendidikan, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Nisah binti Haji Gharif.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan serta pemimpin-pemimpin sekolah dari Kluster 2 dan ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
Semasa majlis tersebut, Pengetua SM Sayyidina Hasan, Awang Moss bin Mat Juni, turut menyampaikan ucapannya yang merangkumi penghargaan beliau kepada ibu bapa, guru-guru, dan pelajar-pelajar atas komitmen dan sokongan mereka terhadap kecemerlangan
akademik.
Beliau juga berkongsi inisiatif baharu sekolah serta kata-kata semangat dan nasihat kepada
hadirin.
Dalam majlis tersebut, dua kategori anugerah telah disampaikan kepada pelajar oleh tetamu kehormat, iaitu Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi yang mencapai 5 hingga 8 kredit serta Gred A* dalam BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE 2024 serta sijil tamat Program Pra-Vokasional dan Program BTEC Kohort 13.
Pada akhir majlis, dua anugerah khas turut disampaikan kepada Dayang Cisca Nicole Enat binti Abdullah atas keputusan cemerlang dalam Pearson BTEC Level 2 Extended Certificate in Art and Design dan Awang Muhammad Hairol Akmal bin Roslan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dalam BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE 2024.
