Friday, January 31, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    76 Rohingya diberi tempat perlindungan sementara

    BANDA ACEH, 30 JAN – Sekumpulan 76 pelarian Rohingya yang tiba dengan bot di sebuah pantai pelancongan di Indonesia telah dipindahkan ke tempat perlindungan sementara selepas penduduk tempatan membenarkan mereka mendarat, kata seorang pegawai hari ini.

    Kumpulan terbaru itu, termasuk empat kanak-kanak, dipindahkan ke khemah di padang bola sepak di bandar Aceh Timur, di wilayah Aceh pada malam kelmarin, beberapa jam selepas tiba di pantai tersebut.

    Pada awalnya, pihak berkuasa menghalang pelarian tersebut daripada turun ke darat bagi mengelakkan mereka melarikan diri dan kerana beberapa penduduk tempatan menentang kehadiran mereka di bandar itu, menurut pegawai pentadbiran tempatan, Iskandar.

    Setelah beberapa jam, “konsensus dicapai untuk membenarkan pelarian itu mendarat,” kata Iskandar kepada AFP.

    Wakil dari Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) telah datang ke kawasan itu untuk berunding dengan penduduk tempatan dan pihak berkuasa.

    Pelarian Rohingya yang baru tiba di Pantai Leuge di wilayah Aceh Indonesia kelmarin. – AFP

    Iskandar berkata bahawa walaupun kapasiti tempat perlindungan itu terhad, ia masih ‘sesuai sebagai perlindungan sementara’.

    Pelarian yang kelihatan letih tetapi tidak dalam keadaan kritikal berkata mereka telah mengembara selama beberapa hari dengan kapal dari Myanmar, tambahnya.

    Kedatangan pelarian Rohingya di Indonesia cenderung mengikuti pola berulang, dengan kedatangan yang lebih sedikit semasa musim sejuk yang bergelora dan kembali meningkat apabila keadaan laut tenang.

    Lebih 260 pelarian Rohingya tiba di sebuah pantai di Aceh awal bulan ini.

    Ramai penduduk Aceh bersimpati dengan nasib sesama Muslim mereka, tetapi ada juga yang menolak kehadiran mereka, mendakwa pelarian Rohingya menggunakan sumber yang terhad dan kadang-kadang terlibat dalam konflik dengan penduduk tempatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda