Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Dengan hasrat untuk menyahut seruan membantu golongan yang memerlukan khususnya bagi mereka yang memerlukan darah dan menambah stok bekalan darah, seramai 76 warga masyarakat India menyertai Kempen Menderma Darah Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di ibu negara, hari ini.
Hadir dan turut serta dalam kempen menderma darah ialah Presiden BSBIA, Sujaya Kamat dan ahli-ahli persatuan yang sama-sama hadir untuk menderma dalam kegiatan berkebajikan itu.
Sujaya Kamat dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan kempen itu merupakan acara tahunan yang dikendalikan oleh persatuan berkenaan di mana ia mula dilaksanakan selama kira-kira 30 tahun dan ia juga adalah sebahagian daripada khidmat bakti masyarakat bagi persatuan berkenaan.
“Kami ingin terus menaburkan bakti kepada masyarakat Brunei dan ini merupakan salah satu usaha murni daripada masyarakat India untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.”
Sementara itu, Bendahari BSBIA dan ketua penyelaras kempen, Suresh Borigam menyatakan kempen amal yang diadakan setiap tahun merupakan sebahagian tanggungjawab sosial mereka dan pihak persatuan mengambil maklum terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menderma darah dan menambah simpanan darah.
“Menderma darah mudah, selamat dan tidak menyakitkan. Ia tidak menjadikan awda lemah atau sakit. Oleh itu, tidak ada apa-apa untuk dikhuatiri,” tambahnya.
Beliau menyatakan para penderma darah merupakan wira yang berkhidmat untuk membantu mereka yang memerlukan serta berharap mereka akan meneruskan usaha murni tersebut.
Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua ahli persatuan yang hadir untuk sama-sama menghulurkan bantuan dengan menderma darah dalam kempen berkenaan.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada kakitangan Hospital RIPAS, terutamanya Pusat Pendermaan Darah yang banyak membantu mereka untuk menjayakan kempen itu serta untuk memberikan sokongan berterusan kepada mereka supaya dapat menaburkan bakti kepada masyarakat.